Pages - Menu

Ahad, 24 Februari 2013

Menghalalkan zina, minum arak menjadikan seseorang murtad


Soalan.
1. Saya ingin mengetahui pengertian murtad? Apakah ciri-ciri yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad?

2. Saya selalu bimbang kalau-kalau saya menjadi murtad kerana kadangkala hati saya berasa ragu-ragu terhadap wujudnya Tuhan, begitu juga ragu terhadap kesempurnaan Islam. Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini?
YANG MUSYKIL


Jawapan.

1. Murtad bermakna ditolak, yakni orang Islam yang terkeluar dari agamanya sebab berpindah kepada agama lain atau dalam keadaan tidak beragama (menjadi aties atau tidak mempercayai wujudnya Tuhan) sedangkan dia sebelumnya beragama Islam. Orang yang murtad memperolehi sebesar-besarnya dosa yang tidak diampunkan oleh Allah, kecuali benar-benar bertaubat dan kembali kepada Islam. Wal 'iyazu billah min zalik. Firman Allah maksudnya
" Dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasaah segala amalan mereka (yakni amalan yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya selama-lamanya" (Surah al-Baqarah:217)
Ciri-ciri yang menyebabkan seseorang Muslim itu menjadi murtad ialah :

  • Dengan perbuatan yang mengkafirkan seperti sujud kepada berhala, menyembah bulan atau mahatari, batu dan sebagainya.
  • Dengan perkataan yang megkafirkan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, memperolok-olokkan hukum dalam al-Quran sebagai kolot dan ketinggalan zaman atau sebagainya.
  • Dengan iktikad (keyakinan) seperti menyakini alam ini kekal, Allah itu baru, menghalalkan zina, menghalalkan minum arak atau mengharamkan perkara yang halal (yang telah disepakati oleh ulama) 
2. Pelajarilah hukum-hukum Islam menerusi guru yang mursyid, yakni guru agama yang alim dan beriman serta menghayati ilmunya. Ikhlaskan diri kepada Allah, jangan takbur dan sombong. Mohonlah hidayah kepada Allah, tunaikanlah solat lima waktu dan laksanakan lah seberapa daya upaya tuntutan tuntutan syarak yang lainnya. Hindarkanlah diri daripada melakukan maksiat. Di samping itu, bergaullah dengan orang salih.

Dengan cara demikian, insya-Allah anda akan mencapai tahap istiqamah (mantap dalam beragama)

Tiada ulasan: