Pages - Menu

Isnin, 25 Februari 2013

Hukum jadi anak angkat bukan Muslim


Soalan :

1. Apakah dibolehkan oleh hukum syarak sekiranya saya menjadi anak angkat kepada satu keluarga bukan Islam ?

2. Sekiraya saya berbuat kebaikan dengan mereka, apakah kebaikan itu di beri balasan pahala oleh Allah sebagaimana kebaikan yang saya lakukan kepada orang yang beragama Islam ?

3. Bolehkah saya mendoakan untuk mereka semoga diberikan hidayah oleh Allah sehingga mereka menganut agama Islam ?

MUHAMMAD JAMAL, KOTA KINABALU.



Jawapan :

1. Menjadikan diri kita sebagai anak angkat kepada keluarga lain dengan erti kata kita tinggal serumah bersama mereka, sebenarnya tidak di galakkan dalam Islam, sama ada keluarga itu terdiri dari orang Islam atau bukan Islam.

Keburukkan yang mungkin berlaku dan sukar dielakkan apabila kita tinggal dengan keluarga angkat ialah pergaulan bebas yang boleh mendatangkan dosa. Kerana apabila seorang lelaki berhadapan dengan seorang wanita yang bukan muhrim sekalipun ia telah dianggap sebagai ibu angkat atau kakak atau adik angkat, hukumnya tetap berdosa, sekiranya peraturan peraturan syarak yang berkaitan dengannya tidak dipatuhi.

Peraturan peraturan syarak yang dikenakan kepada mereka itu antaranya ialah mengenai penutupan aurat, tidak boleh bergurau senda, tidak boleh duduk berdua duaan dan sebagainya.

Jika keluarga angkat bukan Islam, maka ini ditambah pula kesulitan yang mungkin timbul dalam masalah makan minum dan kebersihan yang tidak terjamin mengikut hukum syarak.

2. Melakukan kebaikan kepada orang bukan Islam, insya-Allah diberikan pahala sebagaimana kebaikan yang kita lakukan kepada orang Islam dengan syarat disertakan dengan niat yang ikhlas. Rasulullah s.a.w sendiri menyuruh kita berbuat baik kepada haiwan, apatah lagi kepada manusia sekalipun mereka bukan Islam. Sabda Nabi Muhammad s.a.w maksudnya : 
"Kasihanilah siapa yang ada di bumi, pasti engkau akan dikasihi oleh siapa yang ada di langit".
Rangkaikata "siapa yang ada di bumi" adalah umum sama ada Muslim atau bukan Muslim.

3. Ya, anda memang dibolehkan untuk mendoakan orang bukan Islam supaya mendapat hidayah. Dan doa dalam bentuk inilah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w terhadap orang-orang kafir dengan doanya yang masyhir :
"Allahummahdi qaumi fa-innahum la ya'lamun" (Ya Allah, berikanlah hidayah kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui).


1 ulasan:

Unknown berkata...

Jadi,maksudnya memang boleh keluarga non muslim mengambil anak angkat (islam) tetapi tidak digalakkan dan maksudnya di situ tidak berdosalahkan?