Pages - Menu

Isnin, 25 Februari 2013

Apa yang dikatakan ajnabi dan mahram.


Soalan :

1. Saya ingin tahu apakah yang dikatakan ajnabi ?

2. Orang yang tidak berwuduk diharamkan memegang dan membawa Mashaf (al-Quran). Bagaimana kanak kanak kecil yang belajar al-Quran, adakah diwajibkan juga berwuduk ?

3. Benarkah seorang wanita tidak boleh melakukan puasa sunat tanpa izin suaminya ? Bagaimana pula dengan puasa kadak bulan Ramadhan ?

Zainab Abu Kasin, Taiping Perak

 



Jawapan :

1. Ajnabi ertinya : Orang asing, orang yang tidak masuk dalam golongan kerabat. Dalam ilmu fiqh, bahawa ajnabi itu ialah orang yang halal untuk dinikahi. Lawannya ialah Mahram ( haram dinikahi) terdiri daripada 14 kumpulan seperti berikut :

Tujuh orang kerana keturunan :
  1. Ibu dan ibunya (nenek), Ibu daripada sebelah bapa dan seterusnya hingga ke atas.
  2. Anak dan cucu hingga ke bawah
  3. Saudara perempuan seibu sebapa atau sebapa atau seibu saja.
  4. Saudara perempuan daripada bapa ( ibu saudara dari sebelah bapa )
  5. Saudara perempuan daripada ibu ( ibu saudara dari sebelah ibu )
  6. Anak perempuan daripada saudara lelaki dan seterusnya
  7. Anak perempuan daripada saudara perempuan dan seterusnya
Dua orang kerana menyusu :
  1. Ibu dan bapa tempat menyusu
  2. Saudara perempuan sepersusuan
Empat orang kerana perkahwinan :
  1. Ibu kepada isteri (ibu mertua)
  2. Anak tiri apabila sudah bercampur dengan ibunya
  3. Isteri anak ( menantu )
  4. Isteri bapa 
Selain daripada kumpulan di atas maka dikira ajnabi tidak termasuk kerabat, mereka halal dan Islam mengenakan peraturan tertentu - tidak boleh bergaul bebas dengan bergurau senda, berjalan berdua duaan ke sana ke mari dan lain lain yang di anggap sumbang.

2. Kanak kanak kecil yang sudah mumaiyiz dan belum baligh di haruskan memegang dan membawa al-Quran untuk tujuan belajar membacanya. Tetapi sebaik baiknya hendaklah di galakkan supaya mengambil wuduk untuk didikan dan menanamkan ke jiwa mereka supaya menghormati dan memuliakan al-Quran.

3. Ya, memang benar seorang perempuan tidak harus berpuasa sunat ketika suaminya bermukim atau tinggal bersama samanya, tidak berpergian jauh kecuali jika mendapat keizinan oleh suaminya. Tidak demikian pada puasa kadak yang wajib, kerana puasa wajib ialah kewajipan kepada Tuhan yang mesti diberi keutamaan.

Tiada ulasan: