Pages - Menu

Memaparkan catatan dengan label akidah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label akidah. Papar semua catatan

Isnin, 25 Februari 2013

Islam agama yang benar di sisi Allah


Soalan :

1. Di dalam dunia ini ada banyak agama dan setiap pengikut agama itu mendakwa ajaran agamanya yang betul. Semua agama itu pula mempunyai kepercayaan mengenai ketuhanan yang berbeza beza di  antara satu agama dengan satu agama yang lain.

2. Apakah ukuran yang mesti kita gunakan untuk menetukan bahawa kepercayaan mengenai ketuhan dalam Islam itu betul? Dan, bolehkah diterima pendapat golongan yang menyatakan semua agama di dunia ini betul?

INGIN KEPASTIAN, KK (S)



Jawapan :

 Mempercayai adanya Tuhan sebenarnya memang satu naluri pada setiap jiwa insan, sama ada yang hidup pada zaman primitif mahupun yang bertamadun. Orang yang menganut ideologi komunisme sendiripun, walau lisan dan otaknya cuba menafikan wujudnya Tuhan, namun hati kecilya tetap menyakini Tuhan itu ada !

Kepercayaan bahawa Tuhan itu ada, tidak dapat dikikis dari lubuk hati manusia, cuma kadang-kadang ia akan tenggelam dan menjadi lemah kerana kesombongan manusia itu, tetapi ia akan timbul semula ketika seseorang itu dalam keadaan menempuh bahaya yang tidak mungkin dapat diatasi oleh kewibawaan dirinya atau pertolongan orang lain.

Umpamanya ketika seseorang itu sedang berada di tengah lautan tia-tiba datang ombak dan gelombang yang dasyat. Ketika itu diri mereka lemah, tidak ada sesiapa yang boleh menolong malainkan hanya kuasa di sebalik yang ada ini. Ketika itulah manusia menyeru Tuhan supaya menolong dan meyelamatkannya dari bahaya.

Gambaran itu atau yang seumpamanya pernah dialami dan terus akan dialami oleh manusia yang hidup di dunia ini. Sungguh benar firman Allah di dalam al-Quran maksudnya : 
"Dan apabila kamu terkena bahaya di laut, (pada saat itu) hilang lenyaplah (dari ingatan kamu) makhluk-makhluk yang kamu seru selain daripada Allah; maka apabila Allah selamatkan kamu ke darat, kamu berpaling tadah; dan memang manusia sentiasa kufur (akan nikmat-nikmat Allah)" (Surah al-Isra' :67)
Kepercayaan mengenai wujudnya Tuhan itu, bagaimanapun tidak menepati kepada hakikat yang sebenarnya kecuali dengan pimpinan dan petunjuk Allah itu sendiri. Kalau hanya berpandukan kepada bisikan naluri, maka timbul pelbagai kepercayaan mengenai Tuhan itu sehingga ada yang boleh digambar atau dibentuk dengan sesuatu jisim, kemudian disembahnya.

Contoh yang mudah bagi menjelaskan hal itu, katakanlah kita sedang berasa di dalam sebuah rumah, pintu dan tingkap semuanya tertutup rapat. Tiba-tiba kita mendengar suara orang berjaan di luar rumah, lalu dia mengetuk pintu bertalu-talu. Kita percaya di luar ada orang datang, tetapi tahukah kita siapakah orangnya?

Waktu itu tentulah timbul pelbagai sangkaan di hati kita. Mungkin dia orang baik, mungkin orang jahat, mungkin orang bisu, mungkin orang gila dan pelbagai macam sangkaan lagi.

Kita tidak akan mengenali orang itu denga tepat kecuali dia sendiri mengenalkan dirinya kepada kita. Demikianlah juga dengan kepercayaan kepada Tuhan itu yang telah sedia ada di lubuk hati, sebagai naluri yang dibekalkan oleh Allah, kita tidak akan mengenali-Nya dengan tepat kecuali berpandukan kepada pengenalan Tuhan itu sendiri kepada kita.

Dalam hubungan inilah. Allah telah mengenalkan diri-Nya melalui Rasul-rasul sejak Nabi Adam dan berakhir kepada Nabi Muhammad s.a.w Allah berfirman maksudnya :
"Katakanlah (wahai Muhammad); (Tuhanku) ialah Allah Yang Esa. Allah menjadi tumpuan sekelian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tiada ada sesiapa pun yang berbanding dengan-Nya"
Banyak lagi ayat-ayat yang lain sebagai kenyataan daripada Allah, mengenai sifat-sifat-Nya. Dengan berpandukan kepada wahyu Ilahi itulah, maka barulah kita dapat mengenali Allah, Tuhan yang sebenar yang wajib kita sembah dan kita patuhi.

Kemudian, anda mesti faham, bahawa agama di dunia ini ada dua, iaitu agama ciptaan manusia dan agama yang diturunkan Allah yang dipanggil sebagai " Din Samawi" atau "Dinullah" dan akhirnya dikenali dengan nama "Dinul Islam".

Agama ciptaan manusia berpecah pula kepada beberapa jenis dan agama-agama ini mempunyai kepercayaan tentang tuhan yang berbeza-beza antara satu sama lain, kerana penganjur atau pengasasnya hanya berpandukan kepada perasaan dan khayalan atau paling tinggi berpandukan kepada akal fikiran.

Adapun kepercayaan menerusi agama yang diturunkan oleh Allah sejak daripada Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan berakhir kepada Nabi Muhammad s.a.w semuanya mempunyai persamaan tentang akidah Tauhid (keesaan Allah s.w.t)

Hakikat ini tentu jelas membuktikan bahawa Islam satu satunya agama yang betul. Allah itu pula Tuhan Yang Tunggal, Esa, tiada tuhan yang lain melainkan Dia. Firman Allah maksudnya :
"Sesungguhnya agama yang benar di sisi Allah ialah Islam." (Surah Ali 'Imran: 19).
 "Dan sesiapa yang mencari agama selain Islam, maka sekali tidak diterima oleh Allah dan dia pada hari akhirat kelak termasuk golongan yang rugi." (Surah Ali 'Imran: 85).

Ahad, 24 Februari 2013

Menghalalkan zina, minum arak menjadikan seseorang murtad


Soalan.
1. Saya ingin mengetahui pengertian murtad? Apakah ciri-ciri yang boleh menyebabkan seseorang itu murtad?

2. Saya selalu bimbang kalau-kalau saya menjadi murtad kerana kadangkala hati saya berasa ragu-ragu terhadap wujudnya Tuhan, begitu juga ragu terhadap kesempurnaan Islam. Bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah ini?
YANG MUSYKIL


Jawapan.

1. Murtad bermakna ditolak, yakni orang Islam yang terkeluar dari agamanya sebab berpindah kepada agama lain atau dalam keadaan tidak beragama (menjadi aties atau tidak mempercayai wujudnya Tuhan) sedangkan dia sebelumnya beragama Islam. Orang yang murtad memperolehi sebesar-besarnya dosa yang tidak diampunkan oleh Allah, kecuali benar-benar bertaubat dan kembali kepada Islam. Wal 'iyazu billah min zalik. Firman Allah maksudnya
" Dan sesiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya (Islam), lalu dia mati sedang dia tetap kafir, maka orang yang demikian, rosak binasaah segala amalan mereka (yakni amalan yang baik) di dunia dan di akhirat dan mereka itulah ahli neraka, kekal mereka di dalamnya selama-lamanya" (Surah al-Baqarah:217)
Ciri-ciri yang menyebabkan seseorang Muslim itu menjadi murtad ialah :

  • Dengan perbuatan yang mengkafirkan seperti sujud kepada berhala, menyembah bulan atau mahatari, batu dan sebagainya.
  • Dengan perkataan yang megkafirkan seperti menghina Allah dan Rasul-Nya, memperolok-olokkan hukum dalam al-Quran sebagai kolot dan ketinggalan zaman atau sebagainya.
  • Dengan iktikad (keyakinan) seperti menyakini alam ini kekal, Allah itu baru, menghalalkan zina, menghalalkan minum arak atau mengharamkan perkara yang halal (yang telah disepakati oleh ulama) 
2. Pelajarilah hukum-hukum Islam menerusi guru yang mursyid, yakni guru agama yang alim dan beriman serta menghayati ilmunya. Ikhlaskan diri kepada Allah, jangan takbur dan sombong. Mohonlah hidayah kepada Allah, tunaikanlah solat lima waktu dan laksanakan lah seberapa daya upaya tuntutan tuntutan syarak yang lainnya. Hindarkanlah diri daripada melakukan maksiat. Di samping itu, bergaullah dengan orang salih.

Dengan cara demikian, insya-Allah anda akan mencapai tahap istiqamah (mantap dalam beragama)