Soalan :
1. Bolehkah kita bekerja di kilang membuat minuman keras ?
Jawapan :
1. Minuman keras atau dalam bahasa Arabnya disebut 'Khamar' adalah termasuk benda benda yang diharamkan dalam Islam, kerana ianya lebih banyak mendatangkan mudarat atau bahaya daripada manfaatnya. Firman Alla bermaksud :
"Wahai orang orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak, judi, pemujaan berhala berhala dan mengundi nasib dengan batang batang anak panah itu adalah kotor (cemar) kerana daripada perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya." (Surah al-Maidah : 90)Sabda Rasulullah s.a.w pula antaranya (maksud) :
"Setiap minuman yang memabukkan adalah Khamar, dan setiap khamar itu adalah haram " - (Riwayat Ahmad, Ibnu Majah dan al-Tarmizi)Oleh kerana khamar atau arak itu adalah haram dan banyak membabitkan berlakunya jenayah di larang dalam Islam, maka berusaha atau membantu bagi mewujudkan dan mengekalkan budaya khamar atau arak adalah haram di sisi agama Islam. Makan hasil jualan khamar adalah juga haram. Dalam hubungan ini ada diriwayatkan daripada Tamim al-Dari, bahawa dia biasa memberi hadiah kepada Rasulullah s.a.w setiap tahun satu rawiah (bekas besar di buat daripada kulit) berisi khamar atau arak.
Apabila pada tahun itu telah diturunkan ayat yang mengharamkan khamar atau arak, dia masih lagi membawakan satu rawiah kepada Nabi s.a.w. Baginda tertawa melihatnya, lalu bersabda :
"Apakah anda belum tahu bahawa arak sudah diharamkan, setelah kedatangan mu dulu?"Dia bertanya :
"Bolehkah saya menjualnya dan mengambil manfaat daripada harganya?"Rasulullah s.a.w menjawap :
"Allah telah mengutuk orang orang Yahudi kerana mereka melakukan perbuatan yang telah diharamkan ke atas mereka, mengambil lemak lembu dan kambing, maka mereka mencairkan dan menjualnya, beralasan bahawa mereka tidak memakannya. Sesungguhnya arak itu haram dan harganya pun haram, Sesungguhnya arak itu haram dan harganya pun haram, Sesungguhnya arak itu haram dan harganya pun haram" (Rasulullah s.a.w menegaskan hingga tiga kali menunjukkan bahawa ia suatu yang sangat sangat dilarang) - (Riwayat Ahmad dan Abu Ya'la)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan